Khairat Darul Ehsan (KDE): Skim Khairat Kematian Inisiatif Kerajaan Selangor
Khairat Darul Ehsan (KDE) merupakan inisiatif kebajikan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu meringankan beban waris apabila berlaku kematian ahli keluarga.
Skim ini menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000 kepada dua golongan utama:
1-Warga Emas: Individu berusia 50 tahun ke atas.
2-Orang Kurang Upaya (OKU): Pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa had umur.
Bantuan ini diberikan kepada waris yang telah didaftarkan semasa ahli yang berdaftar masih hidup. Pendaftaran dan permohonan hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi KDE.
Syarat Kelayakan
Untuk mendaftar sebagai ahli Khairat Darul Ehsan (KDE), pemohon perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
Warga Emas (50 Tahun ke Atas)
- Warganegara Malaysia.
- Berusia 50 tahun ke atas.
- Pengundi berdaftar dan bermastautin di Negeri Selangor.
Orang Kurang Upaya (OKU)
- Warganegara Malaysia.
- Pemegang kad OKU JKM.
- Tiada had umur.
- Bermastautin di Negeri Selangor.
- Bagi pemohon berusia 18 tahun ke atas, mestilah pengundi berdaftar di Selangor.
- Bagi pemohon di bawah 18 tahun, ibu/bapa/penjaga mestilah pengundi berdaftar di Selangor.
Penting untuk diingat bahawa permohonan hendaklah dibuat semasa pemohon masih hidup; tiada permohonan akan diterima selepas kematian.
Proses Permohonan
Terdapat dua jenis pendaftaran yang akan dilaksanakan bagi inisiatif Khairat Darul Ehsan (KDE):
- Penerima Sedia Ada: Jika anda merupakan penerima sedia ada di bawah Skim Mesra, Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Insurans Am Selangor (INSAN):
- Anda perlu membuat pengesahan maklumat dan persetujuan untuk menjadi ahli Khairat Darul Ehsan di laman sesawang kde.yawas.com.my bermula 5 Mei 2025.
- Setelah itu, anda akan didaftarkan secara automatik.
Pendaftaran Baru: Bagi individu yang belum mendaftar, pendaftaran baru boleh dilakukan melalui laman sesawang yang sama.
Kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Kerajaan Negeri Selangor bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan hanya waris yang sah dapat membuat tuntutan. Proses semak silang ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyelewengan dan memastikan bantuan disalurkan kepada pihak yang berhak. Proses ini dijangka selesai pada Jun 2025.
Baca : Penutupan Jalan Besar Di KL
Kaedah Digitalisasi Pendaftaran
Kerajaan Negeri juga sedang meneliti pembangunan kaedah digitalisasi untuk pendaftaran bantuan skim Khairat Darul Ehsan. Langkah ini bertujuan untuk memudahkan proses pendaftaran dan memastikan hanya waris yang layak membuat tuntutan. Namun, perhatian juga diberikan kepada tahap literasi teknologi maklumat warga emas yang ingin memohon nanti.