Solat Sunat Aidiladha : Panduan Lengkap Sempena Hari raya Haji

Kongsikan Artikel Ini

Solat Sunat Aidiladha : Panduan Lengkap Sempena Hari Raya Haji

Hari Raya Aidiladha bukan sekadar hari untuk menyembelih korban, tetapi juga saat yang penuh keberkatan untuk mendirikan solat sunat Aidiladha, satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.

Umat islam Di Malaysia akan sambut hari raya haji 2025 pada 7 Jun 2025 hari sabtu

Dalam artikel ini, kami di iPortal.my akan membimbing anda langkah demi langkah bagaimana untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha dengan sempurna, mengikut sunnah Nabi SAW.

Hukum dan Waktu

Solat sunat Hari Raya Aidiladha hukumnya sunat muakkad – sangat digalakkan – dan dikerjakan sebanyak dua rakaat. Waktu terbaik untuk mengerjakannya adalah pada 10 Zulhijjah, bermula selepas matahari terbit (sekadar segalah) hingga sebelum waktu Zohor.

Berbeza dengan solat Aidilfitri yang disunatkan dilewatkan, ia perlu disegerakan untuk memberi ruang kepada umat Islam menyempurnakan ibadah korban selepasnya.

Lafaz Niat Solat Sunat Aidiladha (Makmum)

اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

Lafaz Tasbih di Antara Takbir

سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maksudnya: Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.

Cara Menunaikan Solat

Rakaat Pertama

  1. Berniat di dalam hati dan lafaz takbiratul ihram.
  2. Membaca doa iftitah.
  3. Bertakbir 7 kali, diselang-selikan dengan bacaan tasbih di atas.
  4. Membaca Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Surah Al-A’laa (disunatkan).
  5. Meneruskan solat seperti biasa hingga selesai rakaat pertama.

Rakaat Kedua

  1. Bangun dari sujud dengan takbir intiqalat.
  2. Bertakbir 5 kali, diselang-selikan dengan bacaan tasbih.
  3. Membaca Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Surah Al-Ghaasyiyah (disunatkan).
  4. Menyempurnakan solat dan memberi salam.

Khutbah Aidiladha: Sunnah Selepas Solat

Selepas solat, disunatkan untuk mendengar khutbah Aidiladha. Khutbah ini hampir sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukun, namun ada keistimewaannya:

  • Khatib memulakan khutbah pertama dengan takbir sebanyak 9 kali berturut-turut.
  • Khatib memulakan khutbah kedua dengan takbir sebanyak 7 kali berturut-turut.

Baca : Tarikh Penting Zulhijjah 2025

Penutup: Rebut Ganjaran Aidiladha

Hari Raya Aidiladha bukan sekadar amalan tradisi, tetapi peluang keemasan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau, namun boleh juga dilakukan secara bersendirian jika berhalangan. Semoga ibadah kita diterima dan diberkati.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha dari kami di iPortal.my!

Sumber : JAKIM

Leave a Comment