8.5 Juta Rakyat Malaysia Bakal Terima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 Sebelum Aidilfitri
Kerajaan Malaysia terus komited dalam usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup dengan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula 24 Mac 2025 (Isnin). Peruntukan bagi fasa ini meningkat kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun sebelumnya. Hampir 9 juta rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 60% penduduk dewasa, bakal menerima bantuan sehingga RM650.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa peningkatan peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion kepada RM13 bilion tahun ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara adil dan saksama. Langkah ini diambil khusus bagi meringankan beban kewangan rakyat menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Kaedah Pembayaran STR Fasa 2

Pembayaran STR Fasa 2 akan dilakukan secara berperingkat, mengikut kategori penerima. Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing. Manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank, termasuk di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan, boleh menuntut bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Kategori dan Jumlah Bantuan
Penerima STR Fasa 2 dikategorikan berdasarkan pendapatan isi rumah dan status individu. Kadar bayaran yang akan diterima adalah seperti berikut:
| Kategori Penerima | Kadar Bayaran STR Fasa 2 |
|---|---|
| Isi Rumah berpendapatan ≤ RM2,500 | RM150 – RM650 |
| Isi Rumah berpendapatan RM2,501 – RM5,000 | RM100 – RM300 |
| Warga Emas Tiada Pasangan | RM150 |
| Bujang | RM150 |
Pendaftaran STR 2025 Sepanjang Tahun
Bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menerima manfaat bantuan kerajaan, pendaftaran STR 2025 akan dibuka sepanjang tahun. Mereka yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR disarankan untuk membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi dilakukan berdasarkan kelayakan masing-masing.
Orang ramai boleh menyemak status kelayakan dan mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my. Langkah ini bertujuan memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sekaligus membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Dengan adanya STR Fasa 2 ini, diharapkan rakyat Malaysia dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih tenang dan sejahtera. Kerajaan MADANI kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan taraf hidup masyarakat ditingkatkan secara inklusif.
Info : MOF